Friday, August 10, 2012

Malam Rahsia - LAILATULQADAR

catatan 秋 ツ Jam 1:44 PM

LAILATULQADAR adalah malam yang penuh dengan rahsia. Hanya Allah mengetahui bila ia terjadi.

Rasulullah s.a.w sangat menggalakkan umatnya mencari peluang beriktikaf pada 10 malam terakhir Ramadan. Aisyah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “Carilah malam lailatulqadar pada bilangan ganjil dalam tempoh sepuluh hari terakhir bulan Ramadan.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, At-Tarmizi dan Ibnu Majah).

Tanda-tanda malam lailatulqadar :

Imam Hasan al-Basri, berkata antara tanda malam lailatulqadar ialah suasana malamnya tenang, damai, tenteram, tidak panas dan tidak terlalu dingin. 

Air laut juga kelihatan jernih, anjing tidak banyak menyalak dan matahari terbit pada keesokan paginya dengan sinar putih bersih dan cahaya yang redup.

Kejadian pada malam lailatulqadar :

Dalam Sahih Muslim dinyatakan pada malam lailatulqadar, 70,000 malaikat akan turun dari Sidratul Muntaha ke bumi. 

Malaikat membawa rahmat Allah memasuki rumah serta memberi salam kepada orang Islam kecuali rumah yang mempunyai anjing, khinzir, arak dan patung. 

Malaikat akan naik semula ke langit secara serentak dengan sayap puluhan ribu malaikat itu melindungi pancaran panas matahari menyebabkan suasana di bumi terasa dingin dan tenang.

Tindakan :

Bagi yang menyedari tanda itu, mereka hendaklah meningkatkan amalan dan teruskan berdoa sepanjang hari. 

Jangan dilupa, ibadah di bulan Ramadan ini bukan hanya untuk kita lakukan berseorangan. Ajak sekali ahli keluarga dan menunaikan solat sunat tarawih, membaca al-Quran, beristighfar dan berzikir.


Aisyah bertanya kepada Rasulullah : “Wahai Rasulullah, sekiranya aku berada pada lailatulqadar, apa yang aku perlu buat? Baginda menjawab: “Katakanlah: ‘Allahumma innaka ‘afuwun tuhibbu al-afwa fa’fu’anni (Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihi untuk mengampun, maka ampunilah aku).” (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah). 

* Sekadar ringkasan dari Artikel Malam penuh rahsia - myMetro 10/08/2012

 

belog || Aki Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea